Wednesday, March 9, 2011

Pemandu maut rempuh belakang treler beras

IPOH,09 Mac, 2011 11:56 AM
Seorang lelaki maut apabila lori yang dipandunya merempuh treler muatan beras di Batu 11 Jalan Segari-Pantai Remis, dekat sini awal Rabu.

S. Sasit Tharan, 31, dari Kedah cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar di Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Ketua Polis Trafik Perak Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam kejadian pada pukul 1.52 pagi itu, lori yang dipandu Sasit dalam perjalanan dari Lumut ke Pantai Remis.

"Akibat rempuhan itu, pemandu lori berkenaan tersepit dan mayatnya terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata hasil bedah siasat terhadap mayat lelaki yang ditemui di atas jalan dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan di Km 5 Jalan Chemor-Tanjung Rambutan pada Selasa, mendapati lelaki itu mati akibat kemalangan jalan raya.

"Hasil bedah siasat yang diperoleh mendapati lelaki itu, A. Dave Raj, 25, cedera akibat kemalangan jalan raya dan tiada unsur jenayah," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata siasatan polis juga mendapati lelaki itu yang membonceng sebuah motosikal terjatuh di atas jalan raya dan ditinggalkan oleh penunggangnya selepas kemalangan itu.

Sumber Dari:
BERNAMA Terkini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...