Tuesday, March 1, 2011

PKFZ: Chan Kong Choy Didakwa Tipu Bekas Pak Lah

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) --



ABDULLAH dan Kong Choy hadir pada satu sidang akhbar di Putrajaya pada Oktober 2005 ketika mereka masih dalam kerajaan.


Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).


Chan, 55, dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006, berjumlah RM1.9 bilion.

Beliau didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan menipu itu di Tingkat 4, blok utama Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Chan, yang memakai kemeja lengan panjang biru muda dan seluar kelabu berdepan hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan Chan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.

Chan meninggalkan kawasan mahkamah pada 4.35 petang selepas membayar ikat jamin itu. Beliau ditemani isterinya Puan Sri Ann Chan dan anak perempuan mereka.

"Bagi saya, ini sesuatu yang mengejutkan. Tetapi, bagaimanapun, saya yakin dengan sistem kehakiman negara. Saya akan mengharunginya dan membersihkan nama saya," jawab Chan kepada soalan pemberita.

Prosiding mahkamah yang bermula 2.10 petang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit, dengan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Malaysia kepada Chan, yang kemudiannya menjawab "mengaku tidak bersalah".



Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwa memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes, sebulan dari hari ini bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pihak pembelaan bertukar dokumen dan mengenal pasti isu.

Abdul Gani mencadangkan pihak-pihak dalam kes itu mengadakan persidangan praperbicaraan untuk mengelakkan isu dan fakta yang tidak perlu daripada dibangkitkan di mahkamah.

Membantu Abdul Gani ialah dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup manakala Chan diwakili tiga peguam bela, Arthur Wang, Badrul Munir Bukhari dan Azad Bashir.

Bagi pertuduhan pertama, Chan didakwa menipu Abdullah untuk bersetuju untuk meluluskan KDSD sebagai pemaju siap guna bagi projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah, kawasan seluas 1,000 ekar, menerusi satu fasa sahaja dengan kos pembangunan dianggarkan RM1 bilion.

Chan dituduh melakukan kesalahan itu antara 11 Okt, 2005 dan 28 Okt, 2005.

Bagi pertuduhan ketiga, Chan dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan KDSB sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan lima lagi pembangunan tambahan di PKFZ.

Kerja pembangunan itu ialah kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah berjumlah RM140.2 juta, kerja bekalan elektrik 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 berjumlah RM80 juta, kerja infrastruktur PMU bagi PKFZ berjumlah RM30 juta, pembinaan jalan menghubungkan PKFZ ke Pelabuhan Barat berjumlah RM28.1 juta dan pembinaan jalan menghubungkan pintu masuk utama PKFZ dengan Terminal Kargo 4, Pelabuhan Barat berjumlah RM57.5 juta.

Chan dituduh mendorong Abdullah untuk bersetuju untuk memberikan kelulusan dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSD menerusi Capital Berhad dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 28 Mac, 2006 dan 29 Mac, 2006.

Chan ialah orang kenamaan kedua dituduh berhubung projek itu.

Pada 29 Julai, tahun lepas, bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion.

Kes Dr Ling telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Terima Kasih Kepada:
BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...