Friday, March 4, 2011

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim Didapati Bersalah Terima Suapan RM2,000

SEREMBAN, 04 Mac, 2011 21:44 PM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim, hari ini didapati bersalah atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang kontraktor, lebih dua tahun lalu.


Mahkamah Sesyen di sini Jumaat mendapati tertuduh bersalah terhadap tuduhan menerima suspan itu daripada M. Manimaran sebagai balasan untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit menjual pasir.

Hakim Amran Jantan, ketika membacakan keputusannya, berkata tertuduh didapat tidak melakukan sebarang langkah positif untuk tidak menerima wang yang diletakkan dalam sampul surat itu.

Sebaliknya, katanya, tertuduh terus menghisap rokok dan berbual seperti biasa dan sempat menyentuh wang tersebut.

Katanya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh.

Mustafa, 51, ADUN Barisan Nasional (BN), didapati bersalah mengikut Seksyen 10(a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana menerima suapan itu di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, dekat sini, pada pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.

Jika disabit kesalahan, wakil rakyat itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau minimum RM10,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 April ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman selepas menerima permohonan menangguhkan tarikh oleh peguam belanya.

Terdahulu itu, Mustafa, dibebaskan dari dua lagi pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan RM3,000 daripada Manimaran melalui Mustafa Pendek di Lot 1321, Mukim Pantai, Seremban, pada pukul 11 pagi, 28 Ogos 2008.

Tertuduh juga bebas dari dakwaan meminta suapan sebanyak RM2,000 dari kontraktor yang sama di pejabat SPRM negeri di Jalan Datuk Klana Ma'amor di sini pada pukul 9.05 malam, 30 Ogos 2008.

Dalam dua pertuduhan tersebut, pihak pembelaan berjaya membuktikan bahwa wang yang diminta itu adalah bagi melaksanakan program bantuan Majlis Anak-Anak Yatim dan Warga Tua.

Sumber dari:
BERNAMA & Berita Tv

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...