ALOR GAJAH - Kerana kerakusan harta, seorang bekas pegawai kanan tentera sanggup memikat seorang wanita bergelar nenek yang masih bersuami sehingga mereka bercerai-berai.
Tindakannya itu hanya meremukkan hati suami wanita terbabit apabila mengetahui wanita dicintainya, yang juga guru penolong kanan berumur 51 tahun menjalin hubungan sulit dalam diam-diam.
Azhar Abu, 56, (bukan nama sebenar) menceritakan, sepanjang 26 tahun berkahwin, kehidupannya terlalu bahagia sehingga mereka dikurniakan empat anak berumur antara 27 dan 15 tahun serta dua cucu, dengan tiga daripada anak mereka adalah lulusan universiti luar negara.
Menurutnya, pada Mei 2008 sehingga penghujung 2010, semua rahsia yang disembunyikan bekas isterinya terbongkar selepas dia sendiri mengintip hubungan intim bekas isterinya itu dengan bekas pegawai tentera yang sudah mempunyai anak tiga.
“Ketika itu, saya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di sini dan kemudian, muncul seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai rakan sekolah lama bekas isteri.
“Saya sambut sapaannya dengan baik kerana tidak mengesyaki apa-apa tetapi dalam pertemuan singkat berkenaan, dia tidak henti-henti mengajukan soalan berkaitan harta, misalnya rumah besar ini nama siapa, tanah itu nama siapa, kemudian saya jawab semuanya atas nama bekas isteri saya,” katanya.
Azhar berkata, selepas itu lelaki terbabit meminta nombor telefon bekas isterinya dan ‘mimpi ngerinya’ bermula.
“Rupa-rupanya bermula dari situlah mereka menjalinkan hubungan sebelum dikesan anak perempuan saya.
“Suatu hari, anak perempuan saya terbaca beberapa kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) cinta yang dikirim daripada seorang lelaki tidak bernama di telefon bimbit bekas isteri yang tertinggal di ruang tamu rumah sewaktu dia berada di dapur,” katanya.
Menurutnya, dia cuba tidak mahu berprasangka terhadap kesetiaan dan kejujuran bekas isteri selepas dimaklumkan anak perempuannya mengenai SMS cinta berkenaan.
“Namun hati saya tersentap ketika sedang menjamu selera, saya dihubungi seorang wanita tidak dikenali mengatakan bekas isteri saya berada di dalam sebuah bilik hotel terkenal bersama dengan seorang lelaki dikenali.
“Mulanya saya tidak percaya sebab bekas isteri memaklumkan dia ada seminar, anjuran kementeriannya di sebuah hotel di Ayer Keroh. Tak mungkin isteri saya dengan lelaki lain sedangkan dia pergi bersama rakan sekerjanya,” katanya.
Disebabkan tidak mahu terus menjadi tanda-tanya, Azhar mengambil keputusan mengendap aktiviti bekas isterinya yang ketika itu berada dalam kereta.
“Saya terkejut melihat adegan tidak sepatutnya. Bekas isteri kemudiannya memohon maaf dan berjanji tidak mengulanginya tetapi semuanya bersifat sementara.
“Penghujung Mei 2009, hati saya bagai disiat apabila dia mengaku beberapa kali terlanjur dan kerap tidur bersama lelaki terbabit di hotel, bukannya menghadiri seminar seperti diberitahu sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, pada penghujung September tahun yang sama, sepupunya memaklumkan bekas isteri tinggalkan kereta di halaman rumahnya seawal jam 7 pagi sebelum dijemput seorang lelaki dengan sebuah kereta menuju destinasi tidak diketahui.
“Saya nekad mahu menyiasat dan kebetulan terserempak bekas isteri dengan seorang lelaki dalam pacuan empat roda pula.
“Saya terus pandu kereta dengan laju dan rempuh bahagian sebelah tayar kiri pacuan empat roda berkenaan,” katanya.
Azhar berkata, lelaki terbabit terus turun daripada kereta sambil kedua tangannya memegang sebilah parang serta besi serta turut memecahkan cermin hadapan keretanya sebelum menyerangnya bertubi-tubi.
Menurutnya, mujur ada orang kampung yang meleraikan pergaduhan itu sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Daerah Alor Gajah.
“Saya ada bukti kukuh dengan beberapa keping gambar diambil anak lelaki saya ketika kejadian.
“Pada 1 Januari lalu selepas tempoh edah, bekas isteri terus berkahwin dengan lelaki terbabit. Inilah nasib saya, selepas 26 tahun bersama, saya dan anak dilupakan begitu sahaja demi mengejar cinta lelaki lain,” katanya yang mahukan pengalamannya itu menjadi pengajaran kepada semua.
Sumber Dari:
SH Sisipan Melaka
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Baca Sisipan Lain Polok
- Berita Dalam Negara (168)
- Berita Luar Negara (59)
- Sukan Malaysia (47)
- Tazkirah Agama (25)
- Sukan Luar Negara (21)
- Apeke Jadah Semuani (18)
- KAFA The Red Warrior (17)
- Pelik Tapi Benar (17)
- Info Kesihatan (9)
- Aktiviti keluarga (8)
- Politik Semasa (7)
- CUTI UMUM (1)
- Puisi Puitis (1)
semoga peritiwa ini menjadi pengajaran pada kita semua dan dijauhkan dari kita...semoga Allah memberi kehormanian dalam rumah tangga kita semua
ReplyDelete