Gambar Keadaan Azizul semasa mengalami kecederaan betis |
WALAUPUN betis kirinya masih berbalut dan terasa sakit selepas jahitan luka dibuka kelmarin, semangat membara meruntun Mohd. Azizulhasni Awang untuk kembali berkayuh semula.
Azizulhasni yang kini dalam proses pemulihan dan berehat di rumahnya di Melbourne, Australia mengaku, walaupun belum dibenarkan membuat latihan berat tetapi dia tetap menggagahkan dirinya untuk bergerak di sekeliling rumah bagi memastikan tubuhnya aktif.
"Jahitan luka di betis kiri baru dibuka semalam (kelmarin) tetapi saya belum membuat latihan berat, hanya banyak bergerak untuk memastikan badan aktif," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama semalam.
Melalui laman sosial Twitter pula, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, betis kirinya masih terasa sakit apabila dia cuba membuat kayuhan selama 10 minit semalam.
Selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter itu di Hospital Diraja Manchester, Azizulhasni terus kembali ke Melbourne.
Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz sebelum ini meminta Azizulhasni tidak berehat terlalu lama bagi mengelakkan kakinya kejang.
Dr. Ramlan berkata, Azizulhasni perlu berehat selama tiga hingga empat minggu sebelum mula menjalani latihan ringan bagi menggerakkan otot-otot kakinya.
Sumber Dari:
Kosmo
No comments:
Post a Comment