Sunday, March 6, 2011

Satu Rumah Satu Alat Pemadam Api

KANGAR, 6 Mac
06 Mac, 2011 15:37 PM:-


Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada Ahad menyarankan setiap rumah dan kenderaan persendirian menyediakan alat pemadam api sebagai bantuan awal jika berlaku kebakaran.

Beliau berkata walaupun masyarakat menyedari bahaya kebakaran, namun masih ramai mengabaikan aspek keselamatan termasuk dalam menyediakan alat pemadam api di rumah atau kenderaan.

Masyarakat perlu didedahkan akan kepentingan langkah awal ini, katanya berucap merasmikan program Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis bersama masyarakat di Sekolah Kebangsaan Bintong dekat sini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Fadzil Haroon berkata jumlah kebakaran di negeri itu meningkat sebanyak tiga kali ganda pada Februari lepas berbanding Januari tahun ini.

Beliau berkata sepanjang Januari, pihaknya menerima 18 panggilan kebakaran manakala bulan lepas pula sebanyak 60 panggilan diterima dan kebanyakan membabitkan kebakaran lalang.

Fadzil berkata Perlis juga mempunyai 10 pasukan bomba sukarela yang banyak membantu jabatan itu mengawal kebakaran.

Pada majlis itu Md Isa turut menyerahkan jentera bomba kepada empat pasukan bomba sukarela iaitu pasukan bomba sukarela Kampung Kurong Batang, Kampung Gial, Felcra Lubok Sireh dan Simpang Empat.

Sumber Dari:
BERNAMA

1 comment:

  1. Satu pandangan yang elok dicontohi...lagi kalu 1Malaysia 1Rumah 1Pemadam api...Gomen yang bagi sumbangan :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...